Ganjaran menanti pemain Bolasepak Kelantan !


GANJARAN istimewa bakal diterima barisan The Red Warriors (TRW) sekiranya Kelantan berjaya menempah slot ke separuh akhir ketika bertemu Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata selain kepada pasukan senior, beliau juga akan memberikan ganjaran kepada pemain The President Warriors yang melangkah bergaya ke perlawanan akhir saingan Piala Presiden 2013 setelah menyingkirkan Johor menerusi agregat 1-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam.

"Saya akan berikan hadiah dan bonus Khas atas kemaraan ke separuh akhir malam esok. Insya-ALLAH.

"Saya juga mengucapkan tahniah pasukan Piala Presiden TRW mara ke final. Insya-ALLAH kita akan berikan satu ganjaran pada mereka. Malah beberapa pemain itu akan kita bawa ke pasukan senior dan mereka akan terus diasuh dengan baik," katanya menerusi laman Facebooknya.

Annuar yang sedih kerana tidak dapat bersama pemain Kelantan ketika pertemuan menentang JDT malam esok bagaimanapun berharap anak buah bimbingan Bojan Hodak itu akan memberikan persembahan terbaik.

"Saya mohon maaf kepada Piya dan pemain kerana sekali lagi tak dapat bersama pemain di saat genting ini yang lazimnya saya tidak akan biarkan mereka tanpa saya.

"Walau apapun, doa dan zikir saya tetap iringkan tanpa henti kepada pemain, berjuangla dan berikan 101 peratus dengan jiwa raga, saya akan jumpa setiap pemain sebaik saja saya sihat," katanya.

Pada perlawanan suku akhir pertama minggu lepas, JDT menang 4-2 ke atas Kelantan.