Gadis Dari Malaysia Raih Anugerah Dalam 'World Muslimah Competition Jakarta 2013'

PADA usia 21 tahun, Nurul Husna Zainal Abidin dari Kuala Kangsar menjadi wakil pertama dari Malaysia ke 'World Muslimah Competition 2013' (Pertandingan Muslimah Dunia 2013) di Jakarta.

Dalam acara itu, Husna muncul sebagai salah seorang daripada 10 finalis teratas dan memenangi hadiah 'World Muslim Woman Netizen 2013', salah satu daripada enam anugerah yang diberikan semasa majlis di peringkat final.





"Acara ini adalah sesuatu yang baharu bagi saya kerana saya tidak pernah mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa sebelum ini," kata Husna yang menambah beliau banyak belajar mengenai kehidupan di Indonesia.

Husna berkata walaupun menerima banyak komen positif dan menggalakkan daripada peminat melalui media sosial, terdapat juga mereka yang tidak bersetuju dengan pertandingan ini.
Walaupun sesetengah memuji idea menggalakkan pemakaian tudung dan pakaian menutup aurat, ada juga yang mengatakan bahawa 'mempamerkan wanita' bukanlah sesuatu yang perlu digalakkan dalam agama.
Pengkritik memberi contoh bersolek dan berhias dalam pertandingan itu tidak berjalan seiring dengan idea Islam yang merendah diri dan bersederhana walaupun unsur-unsur Islam seperti bacaan Al-Quran dan doa turut dimasukkan.
Apabila ditanya bagaimana acara itu diharap dapat menilai sejauh mana ketakwaan seorang peserta, yang mana ia tidak dapat diukur, juri dari Malaysia, Jameyah Sheriff , berkata proses adjudikasi melihat bagaimana seorang wanita Muslim membawa dirinya secara ideal.