Bunyi wisel tanda waktu Maghrib , berhenti berniaga - Pasar Malam PJ !



PETALING JAYA - Jangan terkejut jika terdengar bunyi wisel dan lampu dipadamkan pada waktu Maghrib ketika berkunjung ke pasar malam Taman Medan.

Inilah satu kelainan yang dibawa pihak pengurusan pasar malam di sini dalam usaha mendidik peniaga dan pengunjung supaya mengerjakan solat Maghrib apabila tiba waktunya menerusi program Jom Rehat Azan Maghrib yang dilancarkan sejak tiga minggu lalu.

Lebih menarik lagi, bacaan ayat suci al-Quran dipasang 10 minit sebelum masuk waktu sebagai isyarat menandakan waktu Maghrib hampir tiba.

Pengerusi Persatuan Pasar Malam Bumiputera Petaling Jaya, Kamal Ahmad Abdullah berkata, selepas program itu dilaksanakan, setiap gerai akan menutup lampu dan menghentikan perniagaan 10 minit bagi memberi laluan kepada waktu Maghrib.

Jelas Kamal, program Jom Rehat Azan Maghrib itu dilihat mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan peniaga di sini, dan masing-masing mengerjakan solat di surau sementara yang disediakan berhampiran tapak pasar berkenaan.