BR1M tetap diteruskan - Datuk Ahmad Maslan

Datuk Ahmad Maslan 
KUALA LUMPUR 02 Okt 2013 : Kerajaan mahu terus memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan tertentu yang memerlukan seperti dirancang sebelum ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata BR1M boleh menjana ekonomi setempat kerana wang tunai yang diberikan akan digunakan untuk membeli barangan sekaligus meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.

"BR1M bukan hanya wang tunai untuk ringankan beban tetapi sedikit sebanyak beri kesan positif ke atas pertumbuhan ekonomi dan penggunaan domestik," katanya 
Ahmad berkata kedai runcit, pasar tani, pasar malam dan pusat membeli belah akan turut menerima kesan positif daripada program BR1M.
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai saranan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang berpendapat BR1M tidak perlu diteruskan dalam Belanjawan 2014.
Sebaliknya, Dr Mahathir berkata jalan penyelesaian mesti dicari supaya rakyat tidak terus bergantung kepada kerajaan seperti melatih golongan berkenaan mendapatkan sumber pendapatan sendiri.