Bergaduh pasal duit sewa, pemuda maut jatuh kondominium !

Seorang pemuda ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat 14 Kondominium Mutiara di Bandar Perda di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11 malam itu, Mohd. Danial Iqbal Irwanshah, 21, ditemui terlentang di tingkat bawah berhampiran tempat letak kereta kondominium tersebut.

Pemuda itu yang meninggal dunia di tempat kejadian mengalami kecederaan parah di badan dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai bergaduh dengan rakan serumahnya mengenai duit bayaran sewa rumah sebelum ditemui terjatuh dari tingkat 14 kondominium.

Beliau berkata, pemuda itu dikatakan memukul rakan serumahnya dan kemudian mengurungkan diri di dalam bilik sebelum terjatuh menerusi tingkap di bilik itu.

"Rakan serumahnya yang cedera dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya dan keadaannya dilaporkan stabil," katanya dihubungi hari ini.

Mohd. Nasir berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan.