ATM , Pahang ke separuh akhir Piala Malaysia 2013!


ATM dan Pahang mengesahkan tempat ke Separuh Akhir Piala Malaysia 2013 dengan menundudukan lawan masing-masing dalam perlawanan malam tadi .

Di Stadium Selayang, Marlon Alex James mempamerkan persembahan terbaiknya apabila menyumbatkan hatrik untuk memastikan anak-anak buah jurulatih B. Sathianathan melangkah ke saingan separuh akhir.

The Gladiators terlebih dahulu hampir dihukum seawal minit keempat apabila K. Reuben bertindak menjatuhkan kapten Lions XII, Shahril Ishak tetapi nasib ternyata menyebelahi ATM apabila pengadil perlawanan, Mohd. Nafeez Abd. Wahab tidak menghadiahkan penalti kepada pelawat.

Gol pertama yang dicari-cari Gladiators akhirnya menjelma pada minit ke-23 apabila hantaran perancang utama dari Argentina, Bruno Martelotto dari sebelah kanan tertepis pemain lawan, Hariss Harun ke gawang sendiri meletakkan ATM mendahului perlawanan 1-0.

ATM tergamam seketika apabila pemainnya, Amiridzwan Taj diperintah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua, namun beraksi dengan 10 pemain tidak menjejaskan tuan rumah yang ketika itu mendahului 3-1 sebelum Alex James melengkapkan gol ketiganya.

Lions XII yang mengunjungi Stadium Selayang berbekalkan kelebihan satu gol ke atas ATM bangkit seketika menerusi gol tunggal daripada Hafiz Abu Sujad.




PAHANG menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila mara ke saingan separuh akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan Selangor PKNS dengan agregat 5-3.
Selepas menang 3-2 pada aksi suku akhir pertama di Kuantan, Pahang minggu lalu, Tok Gajah meneruskan momentum sedia ada dengan menewaskan PKNS 2-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam malam tadi.
Beraksi di depan 30,000 penonton, Pahang membuka tirai jaringan menerusi peledak import, Matias Conti hasil sepakan penalti pada minit ke-28.
Tonggak Harimau Malaya, Mohd. Azamuddin Akil terus memberi tekanan kepada PKNS apabila menjaringkan gol kedua Tok Gajah pada minit ke-59.
Tersentak dengan dua jaringan Pahang, PKNS kembali mempamerkan corak persembahan agresif dengan melancarkan asakan ke kubu pertahanan lawan.
Asakan bertubi-tubi itu memberikan hasil kepada PKNS apabila Khairul Azrin Khazali meledak gol pada minit ke-66.
PKNS terus bangkit bagi memburu gol dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan, namun gagal menambah sebarang jaringan sehingga tiupan wisel terakhir.
“Kejayaan ini hadir daripada 120 peratus komitmen barisan pemain Pahang. Saya sangat gembira kami berjaya mara ke pusingan separuh akhir.
“Kini saya berazam untuk membantu Pahang mara ke final,” jelas Azamuddin.
Jurulatih PKNS, Abdul Rahman Ibrahim memberitahu, beliau tetap berbangga dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun tewas kepada Pahang.
“Saya tidak puas hati dengan jaringan pertama Pahang dan gol kedua mereka adalah hasil kesilapan pemain saya sendiri.
“Begitupun, saya tetap berbangga dengan pencapaian PKNS dalam saingan Piala Malaysia kali ini berdasarkan pemain sedia ada,” katanya.