3 tahun tanpa nafkah batin - Hukumnya ?

Saya mendirikan rumah tangga sudah hampir tiga tahun, tetapi selama berkahwin tak pernah bersama untuk nafkah batin .
Kami pernah mencuba tapi gagal dan ini membuatkan saya buntu. Hanya itu masalah yang dihadapi, manakala perkara lain semuanya sempurna. 
Malah, suami memberikan nafkah zahir yang cukup dan sentiasa bergurau. Cuma yang membuatkan saya keliru adalah masalah di bilik tidur.

Saya pernah berbincang dengan suami kerana inginkan anak, tetapi tiada apa-apa perubahan.

Saya tak tahu sampai bila harus begini dan bagaimana perkahwinan tanpa nafkah batin? Saya betul-betul buntu dan keliru.

Jawapan

Tanggungjawab suami memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri. Apabila kedua-dua nafkah tidak terlaksana, kepincangan hidup rumah tangga akan berlaku. 

Begitu juga penyempurnaan nafkah batin dalam konteks di atas ialah memenuhi tuntutan nafsu seksual semula jadi setiap manusia. 

Dengan adanya hubungan seksual pasangan juga akan mendapat zuriat dan kehidupan berumah tangga menjadi sempurna. 

Justeru, Islam mensyariatkan hubungan seksual yang halal antara suami isteri. 

Ia satu kebaikan dalam kehidupan di dunia dan menjadikannya kenikmatan yang khusus bagi orang soleh pada hari akhirat nanti. 

Rasulullah SAW pernah menasihati seorang sahabat baginda iaitu Uthman bin Maz’un supaya menunaikan tanggungjawab berupa nafkah batin kepada isteri. Sabda baginda: “Sesungguhnya isterimu mempunyai hak atas dirimu...” 

Dengan kata lain, setiap suami perlu mengetahui tanggungjawabnya kepada isteri. 

Dalam kes anda, tempoh tiga tahun sudah dikira begitu panjang dan anda sudah memberi cukup masa kepada suami untuk berubah. 

Kesabaran anda mungkin akan hilang dengan sikap suami. Anda mungkin boleh berusaha dengan meminta suami berubat. 

Mudah-mudahan dengan berubat atau menghadiri kaunseling suami puan akan berubah. 

Sekiranya tiada juga perubahan daripada pihak suami, anda boleh memohon supaya perkahwinan difasakhkan dengan cerai taklik. 

Ini kerana akad taklik mensyaratkan suami memberi nafkah batin kepada isteri,perlu diketahui, Islam tidak melihat seseorang isteri berdosa dalam permohonan ini.