Tiga nyaris maut bot yang dinaiki ketika aktiviti menyelam terbakar !


PULAU KAPAS 16 Sept. - Tiga beranak nyaris maut selepas bot dinaiki untuk menyertai aktiviti menyelam di Pulau Kapas sempena cuti Hari Malaysia terbakar di jeti Kampung Losong Panglima Perang di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi ini, seorang daripada mangsa, Haikal Amsyar Harif Fadhilah, 16, cedera parah manakala bapanya, Harif Fadhilah, 54, dan abangnya, Hazman, 18, terselamat.
Haikal Amsyar yang melecur di kaki, tangan dan muka kini diberi rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Kejadian itu berlaku sewaktu tiga sekeluarga itu sedang bersiap-siap ke Pulau Kapas untuk aktiviti berkenaan dengan meminjam bot milik seorang rakan.
Harif Fadhilah berkata, bot itu terbakar secara tiba-tiba sebaik sahaja dia cuba menghidupkan enjin sebelum ke pulau berkenaan.

"Sejurus naik ke dalam bot, kami mengisi minyak sebelum saya hidupkan enjin tetapi tiba-tiba api terus menyambar kami," katanya ketika ditemui di HSNZ di sini hari ini.
Berikutan itu, jelasnya, mereka terjun ke dalam sungai dan berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing.

Bagaimanapun katanya, sebaik sahaja tiba di tebing, dia menyedari anaknya, Haikal Amsyar mengalami kecederaan dengan melecur di tangan, kaki dan muka.

"Haikal Amsyar kemudian diberi bantuan oleh penduduk kampung sebelum dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut kerana kecederaannya agak serius," ujarnya yang sebelum ini sering menggunakan bot rakannya itu.
Menurut Harif Fadhilah, dia mengesyaki kebakaran itu berlaku disebabkan tumpahan minyak di sekitar enjin bot ketika mereka mengisi minyak sebelum disambar api sewaktu cuba menghidupkan enjin.

Dalam pada itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Rozairi Abdul Rahim berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan mengenai kejadian itu.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dapati sebuah bot sepanjang tujuh meter sedang terbakar dan mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital oleh orang ramai," - Online