Tangan bayi tersepit mesin pengadun kuih !

Seorang bayi berumur 13 bulan terpaksa menahan kesakitan hampir satu jam apabila tangan kirinya tersepit di mesin pengadun ketika mengikut ibunya bekerja membuat kuih raya di sebuah kilang di Taman Utama Bakri, semalam.
Berikutan kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Mohd Uqshah Iman Ramli bengkak tangan kiri serta berdarah dan bengkak di bahagian mulutnya.
Ibunya, Maznah Osman, 37, berkata, sebelum kejadian Mohd Uqshah bermain-main berhampiran mesin itu yang diletakkan di atas lantai dan dikendalikan olehnya.
“Melihat perbuatannya, saya beberapa kali melarangnya daripada bermain berdekatan mesin itu.
“Tiba-tiba saya dikejutkan dengan tangisan serta jeritannya dan mendapati tangan kirinya tersepit di mesin tersebut yang sedang bergerak,” katanya.
Katanya, dia cuba membantu menyelamatkan anaknya tetapi tidak berjaya. Badan Mohd Uqshah bergerak sama mengikut mesin itu yang sedang berpusing sehingga menyebabkan mulutnya terhantuk sebelum berdarah dan bengkak.
“Seorang pekerja bertindak pantas menutup suis mesin, namun tangan anak yang tersepit antara bekas tepung dan badan mesin berkenaan masih tidak dapat ditarik keluar.
“Tiga anggota bomba yang datang membantu terpaksa mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membuka skru sebelum tangan anak berjaya ditarik keluar,” katanya.
Maznah berkata, anaknya kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk rawatan segera.
Sementara itu, pemilik kilang berkenaan, Norhadidah Harun, 43, berkata, semasa kejadian dia berada dalam tandas di tingkat atas sebelum mendengar bayi berkenaan menjerit.
“Mujur salah seorang pekerjanya bertindak pantas menutup suis mesin dan jika tidak dikhuatiri keadaan lebih buruk boleh berlaku,” katanya.