Penyokong Selangor desak Datuk Mokhtar Ahmad letak jawatan !

Datuk Mokhtar Ahmad 
SHAH ALAM : Segelintir penyokong Selangor sudah mula tampil mendesak Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad meletak jawatan serta merta kerana dianggap individu bertanggungjawab di atas kegagalan skuad Gergasi Merah itu layak ke suku akhir Piala Malaysia, musim ini. 

Jurucakap kelab penyokong SelangorFC.com (SFC), Mohd Firdaus Abdul Mutalib berkata, tingkah laku Mokhtar sejak kebelakangan ini yang banyak membuat keputusan secara bersendirian bersama ‘orang luar’ tanpa merujuk kepada Exco FAS dirumuskan punca sebenar kemerosotan mendadak Selangor biarpun berjaya muncul naib juara Liga Super musim ini. 


“Sumber daripada kalangan pemain sendiri mendakwa beliau mengganggu pasukan dengan membawa dua individu luar bebas untuk menaiki bas pasukan dan memasuki bilik persalinan yang umum tahu ia tempat eksklusif untuk pemain saja. 

Minta presiden campur tangan 
“Individu luar itu juga dikatakan akan mengadu kepada beliau jika kedengaran ada pemain yang mahu memberontak kerana sering dilemparkan kata-kata kesat oleh beliau. 

“Jadi kami beranggapan tindakan beliau ini sekiranya benar, sesuatu yang sangat melampau. Kami berasakan inilah punca sebenar kemerosotan mendadak Selangor dalam Piala Malaysia kali ini, bukannya kerana ada pemain mendapat tawaran pasukan lain,” kata Firdaus ketika dihubungi, semalam. 
Firdaus turut berasakan tiba masanya Presiden FAS, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim campur tangan dalam hal ini bagi menghentikan tindak tanduk Mokhtar itu yang dikhuatiri hanya akan membuatkan pemain takut untuk menyarung jersi Selangor, musim depan. 

“Beliau sudah 13 tahun memegang jawatan Timbalan Presiden FAS. Terlalu lama tanpa apa-apa sumbangan besar selain menyelesaikan hutang tertunggak FAS pada 1998 dan pembayaran baki gaji Bosko Balaban ketika pemain import Selangor itu digugurkan musim lalu. 

“Lebih elok beliau meletak jawatan secara terhormat sebelum dimalukan dalam pemilihan FAS, April tahun depan kerana semua Exco FAS sudah tidak gembira dengan tindak tanduk beliau. - Online