Pelajar Britain di larang berhijab ?


KOLEJ Birmingham Metropolitan, England, Britain  baru-baru ini mengeluarkan dasar melarang pelajar Islam memakai tudung atau pakaian menutup muka bagi tujuan keselamatan dan supaya mudah dikenali pada setiap masa.

Pengharaman memakai tudung dan purdah diumumkan kepada pelajar bagi sesi baru permulaan pengajian di kolej itu minggu lalu, menyebabkan beberapa pelajar berpindah ke kolej lain.

Seorang pelajar, Imaani Ali, 17, berkata dasar itu seperti menceroboh kebebasannya malah pihak kolej juga tidak memberi alternatif lain.

“Saya dan rakan-rakan yang memakai tudung hanya diberitahu mengenai larangan itu ketika proses pendaftaran. Pihak keselamatan juga menyekat kemasukan kami di perkarangan kolej.

“Tindakan ini satu diskriminasi beragama. Ini agama saya dan ini kepercayaan saya. Saya tidak mahu ke tempat yang tidak boleh menerima saya namun saya tiada pilihan lain ketika ini,” katanya.

Seorang lagi pelajar 17 tahun yang enggan dikenali berkata, beliau nyata kecewa dengan dasar itu dan telah membuat keputusan untuk berpindah ke kolej lain di bandar.

“Ini satu pemikiran dangkal. Keputusan memakai tudung adalah hak peribadi. Saya sangat terkejut apabila isu ini dibangkitkan memandangkan di sini terdapat ramai pelajar Muslim dan berbilang budaya.

“Saya tidak rasa tudung akan mengganggu pembelajaran dan komunikasi dengan orang lain kerana saya tidak pernah mempunyai masalah dengan mereka,” katanya.

Bagi pelajar A-Level Suleman Hussain, 17, turut tidak bersetuju dengan garis panduan terbaru itu.

“Mereka datang ke kolej untuk belajar, bukannya akan membawa bom dan membuat kacau,” katanya. - Online