Kilang kicap guna botol arak !


Kegiatan seorang pengusaha kicap mengeluarkan kicap tiruan dengan jenama ABC terbongkar selepas rumah kedai yang dijadikan kilang untuk memproses barangan itu di Taman Taynton, Cheras di sini diserbu oleh pihak berkuasa hari ini.

Dalam serbuan pukul 1.15 petang itu, sepasukan kakitangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas kira-kira 2,000 botol kicap tiruan.

Turut dirampas 20,000 botol kosong yang telah dibersihkan yang dipercayai akan digunakan semula, bahan-bahan seperti tepung, kacang soya, gula dan karamel selain 10 buah tong gas dan label untuk menghasilkan kicap tiruan berkenaan.

Lebih mengejutkan terdapat sebahagian daripada botol itu merupakan botol arak.
Pengarah PPDNKK cawangan itu, Abu Samah Shabudin berkata, dalam serbuan itu, pihaknya telah menemukan sebuah stor simpanan botol kicap yang telah siap dipasarkan dan sebuah stor penyimpanan selain dua mesin memproses kicap yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM150,000.

"Hasil pemeriksaan, kesemua 2,000 botol kicap yang siap dipasarkan itu mempunyai pelekat label jenama ABC berlatarbelakangkan warna putih dan berbeza dengan jenama asli yang berwarna merah.

"Siasatan juga mendapati premis ini telah beroperasi kira-kira tiga bulan lalu. Ketika serbuan terdapat enam pekerja tetapi kesemuanya telah melarikan diri dan disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.
Menurut beliau, siasatan lanjut akan dilakukan di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.

"Jika disabit kesalahan di mahkamah, pemilik kicap tiruan itu boleh didenda RM10,000 untuk setiap botol atau dipenjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama," jelasnya.

Beliau memberitahu, serbuan itu yang diketuai Timbalan Pengarahnya, Kamaruddin Mohd. Yasin serta 10 pegawai dijalankan hasil aduan orang ramai yang mengesyaki botol kicap di premis itu adalah tiruan kerana penutup, label dan pelekat digunakan berbeza dengan yang asli.

"Saya menggesa para pengguna sentiasa berhati-hati apabila mereka hendak membeli sesuatu produk dan segera membuat aduan kepada pihak berkuasa agar mereka tidak terpedaya dengan barang tiruan," ujarnya.-Sumber Utusan  Online