Kebumi segera jenazah anak ! - Jamil Khir



PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menasihatkan bapa kepada Allahyarham Sherul Aizam agar mengkebumikan segera anaknya sejajar dengan ajaran Islam.
   
"Pihak keluarga Allahyarham Sherul pasti mahu jawapan yang masih belum dijawab oleh pihak berkuasa tetapi ia menjadi tanggungjawab anggota keluarga Sherul menguruskan pengkebumiannya dengan segera," katanya.
   
Jamil Khir ditanya mengenai tindakan Mohd Damanhuri Mohd Fuat yang masih enggan mengkebumikan jenazah anaknya itu yang meninggal dunia pada Julai lepas.
    
Dalam kejadian 20 Julai, Sherul Aizam, 27, didakwa cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran tetapi gagal dan ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur kediaman itu di Taman Saz di Ipoh, Perak, kira-kira pukul 12.15 tengah malam.
   
Akibat tidak berpuas hati dengan kematian Sherul, Mohd Damanhuri membuat laporan polis pada 27 Julai di Balai Polis Manjoi, Perak dan menuntut supaya siasatan dan bedah siasat kedua dilakukan.
  
Jamil Khir bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi, dekat sini hari ini.- Online