Kanak - kanak maut terhempap tv di pusat asuhan !

Gombak: Seorang bayi perempuan maut selepas kepalanya dipercayai dihempap televisyen berukuran 29 inci (73.6 sentimeter) di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Taman Bersatu, Rawang, dekat sini, semalam.
Mangsa, Rabiatul Adawiyah Adlan Zulkarnain yang berusia setahun lapan bulan dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Selayang akibat parah di kepala.

Berikutan itu, bapanya Adlan Zulkarnain Mustafa, 40, membuat laporan di Balai Polis Rawang.
Menceritakan kejadian itu Adlan berkata, dia menghantar mangsa bersama seorang lagi anak perempuannya berusia empat tahun ke pusat asuhan terbabit jam 6.20 pagi sebelum dia ke tempat kerja di sebuah bank di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, 10 minit kemudian saya menerima panggilan telefon daripada pengasuh itu memberitahu kepala anak saya dihempap televisyen.

“Saya yang terkejut terus berpatah balik dan membawa anak saya ke hospital untuk menerima rawatan, namun gagal diselamatkan selepas doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Adlan berkata, dia diberitahu pengasuh berkenaan, ketika kejadian anaknya sedang menekan butang di televisyen itu namun alat telekomunikasi itu tiba-tiba bergoyang dan terjatuh berikutan keadaan rak yang tidak stabil.

“Saya diberitahu bahagian bucu televisyen menghempap kepala anak saya menyebabkan berlaku pendarahan serius.
“Rabiatul anak bongsu daripada lima beradik dan dia (jenazah) dikebumikan di kampung isteri saya di Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan kejadian itu dan setakat ini kes disiasat sebagai kematian mengejut (SDR).

Difahamkan, semua anak mangsa sebelum ini pernah dihantar ke pusat asuhan berkenaan, namun tiada kejadian seperti itu berlaku.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bahagia, Teluk Intan jam 7.10 malam tadi , Al-fatihah - Metro