Gara - gara RM50 dua kakitangan Jabatan Kesihatan di gantung tugas !


Dua kakitangan Jabatan Kesihatan negeri digantung tugas kerana didakwa memasukkan jentik-jentik ke dalam tangki takungan air di sebuah bengkel kereta di sini, untuk meminta sogokan daripada pemilik premis terbabit.

Tindakan dua kakitangan terbabit, masing-masing lelaki dan wanita, terbongkar selepas perbuatan mereka kira-kira jam 12 tengah hari Selasa lalu di Kawasan Perindustrian Kwang Hup, dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) premis itu. 


Pemilik bengkel yang hanya mahu dikenali sebagai Thambi, 52, mendakwa seorang pekerja menghubunginya memaklumkan kakitangan Jabatan Kesihatan menemui jentik-jentik di dalam tangki air ketika membuat pemeriksaan. 

Rakaman dimuat naik di laman YouTube dengan tajuk Malaysia True Ugly Health Officials factory for mosquitoes in check caught in CCTV, menunjukkan seorang wanita memakai jaket memasukkan sesuatu ke dalam tangki air di bengkel itu sebelum dia dan rakan lelakinya membuat pemeriksaan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zailan Adnan, dalam kenyataan berkata, kedua-dua kakitangan itu digantung tugas sehingga siasatan terperinci mengenai kes itu selesai.

“Jika didapati bersalah, mereka akan dibuang kerja kerana kesalahan dilakukan sangat serius dan menjejaskan imej jabatan selain boleh menghilangkan kepercayaan orang awam terhadap jabatan,” katanya.