Cara jana duit dengan You Tube ?

Pasti anda pernah melayari YouTube bukan? Sekiranya ya, anda adalah antara satu bilion pengguna yang diterima YouTube setiap bulan. YouTube adalah antara tiga gergasi media sosial di Internet selain daripada Facebook dan Twitter. Ia juga laman web perkongsian video yang utama di Internet.
Sememangnya seronok menonton klip video di YouTube, adakalanya yang diterima daripada kawan yang berkongsi video kelakar untuk hiburan. YouTube juga kadangkala digunakan untuk mempelajari sesuatu yang baru melalui video bantuan yang dihasikan oleh pencipta video dari serata dunia. Apabila terasa bosan, ada juga yang mendengar sambil menonton klip video muzik di YouTube. 
Sejak 2005, YouTube menghiburkan dengan pelbagai klip yang dikenali sebagai viral iaitu klip yang mendapat perkongsian luar biasa di dunia maya seperti klip “Charlie bit my finger”, si kecil menggigit jari abangnya dengan comel, “Evolution of Dance” serta tidak lama dulu klip “Listen... listen... listen”. 

Namun, tidak ramai yang ketahui bahawa berjuta pemilik saluran YouTube juga menjana pendapatan daripada media sosial itu melalui apa yang dikenali sebagai YouTube Partner Program.

Secara asasnya, progam YouTube Partner ini membolehkan pencipta video di YouTube sama ada mereka yang profesional atau sebaliknya seperti seorang ibu yang hanya menggunakan fungsi video di telefon bimbit mengambil rakaman video anak ketawa dan memuat naik ke YouTube untuk menjana pendapatan.

Video yang dimuat naik di YouTube akan diletakkan iklan daripada pengiklan di dalam video terbabit, sama ada sebelum video dimainkan atau iklan berbentuk grafik di bahagian bawah video. Anda pasti pernah melihat iklan ini sekiranya anda sering menggunakan YouTube. Video yang mendapat tontonan ramai akan dapat menjana pendapatan kepada pemilik video terbabit daripada pengiklan. 

Sehingga kini, dikatakan terdapat berjuta pemilik saluran YouTube yang menjana pendapatan dan ramai juga menjana pendapatan sehingga beratus ribu ringgit setahun. 

Sekiranya anda mempunyai perakam video atau zaman kini kebanyakan telefon pintar mempunyai fungsi rakaman video dengan resolusi tinggi, anda juga boleh menjana pendapatan di YouTube. 

Sememangnya jika anda seorang yang kelakar, pandai menyanyi atau menghiburkan orang, ia satu kelebihan kerana klip sebegini sering mendapat sambutan di YouTube. Tetapi, selain daripada klip berbentuk hiburan sebegini, klip video berbentuk informasi juga mendapat sambutan yang amat tinggi. 

Ini kerana enjin pencari YouTube adalah enjin pencari kedua paling popular selepas Google dan ramai pengguna Internet menggunakan YouTube untuk mendapatkan maklumat. 

Klip video mengajar melakukan sesuatu seperti mengajar memasak, bercucuk tanam, menggunakan perisian komputer tertentu, ulasan produk, motivasi, cara menjaga anak dan banyak jenis video dihasilkan di Internet dan mendapat beribu hingga berjuta penonton. 

Satu tip penting dalam menghasilkan klip YouTube yang boleh menarik ramai penonton adalah menghasilkan sesuatu klip video yang mengikut minat anda. Sekiranya anda berminat dalam bidang senaman, berikan tip senaman. Sekiranya anda berminat dalam bidang fotografi, berikan tip fotografi dan sekiranya anda berminat dalam hal fesyen, berikan pula tip fesyen. 

Oleh kerana YouTube membolehkan sesiapa saja berkongsi maklumat dalam bentuk video, klip video yang dihasilkan tidak semestinya pada tahap profesional seperti mana klip di televisyen. Ini seiring dengan slogan YouTube itu sendiri- Broadcast Yourself. 

Ramai yang menjana pendapatan melalui Internet menggunakan media seperti blog, laman web dan Facebook. Tetapi masih tidak ramai yang menggunakan YouTube untuk menjana pendapatan.Kekurangan ini boleh menjadi kelebihan untuk anda yang berminat kerana ini bererti kurangnya pesaing. 

Siapa tahu, mungkin anda boleh menjana pendapatan menggunakan YouTube Partner Program? - Sumber H.Metro  


1 ulasan:

Tak senang juga ya nak buat duit kat YT..

Reply