Lautan Merah - 50,000 penyokong Kelantan dijangka saksi final Piala FA



SERAMAI 50,000 penyokong Kelantan dijangka hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara pasukan Kelantan dengan Sime Darby di Stadium Nasional Bukit Jalil , Sabtu ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan tiket yang cukup membolehkan penyokong bola sepak negeri ini menyaksikan perlawanan kali ketiga Kelantan mara ke pentas final Piala FA.
Katanya, 30,000 tiket disediakan kepada Kelantan oleh FAM untuk dijual kepada penyokong negeri ini bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2012 walaupun menyedari jumlah mereka yang akan hadir ke Bukit Jalil lebih ramai iaitu kira-kira 50,000 orang.
“Sebanyak 12,000 daripada 20,000 tiket dibeli KAFA sudah habis ditempah sehingga hari ini (semalam) selain 10,000 lagi tiket dikhususkan untuk dijual kepada penyokong The Red Warriors di Kuala Lumpur.

“Kita hanya mampu jual 8,000 tiket saja di kaunter Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu selama dua hari bermula hari ini (semalam),” katanya pada sidang media selepas majlis pengisytiharan jualan tiket Final Piala FA 2012 dan pelancaran CD Dikir Warriors di Kafe The Red Warriors di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di Kota Bharu, semalam.

Turut hadir pada majlis yang dianjurkan Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net) iaitu Naib Presiden KAFA, Datuk Ismail Md Nor dan Rosmadi Ismail selain pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim dan Timbalan Presiden Kelate.net, Mahizi Mahmood.