Kelantan vs Terangganu Pusingan Ke-2 Afc 2012





PERTEMBUNGAN dua wakil Malaysia, Kelantan dan Terengganu pada pusingan kedua Piala AFC malam ini sudah pasti ditunggu-tunggu oleh penyokong setia kedua-dua pasukan.
Bagi Kelantan, skuad The Red Warriors itu jelas sekali berada pada kemuncak prestasi selepas kejayaan menjulang Piala FA, Sabtu lalu.
Di kem Terengganu pula, skuad Peteh itu mahu memadam kekecewaan gagal mempertahankan Piala FA yang dimenangi mereka musim lalu selepas tersingkir pada aksi separuh akhir.
Aksi malam ini turut terarah kepada kelibat Peter James Butler – bekas jurulatih Kelantan yang kini membimbing Terengganu.
Kehadiran Butler ke Stadium Sultan Muhammad IV malam ini bakal menyaksikan beliau kembali menjejakkan kaki di bumi Kota Bharu selepas kontraknya sebagai pengendali Kelantan ditamatkan pada Februari lalu.
Bagi para pemerhati bola sepak tempatan, mereka menjangkakan aksi cukup sengit malam ini, malah ada yang meramalkan pertembungan itu lebih menarik berbanding aksi final Piala FA yang menemukan Kelantan dan Sime Darby di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Biarpun optimis mampu menjinakkan Terengganu, pengendali Kelantan, Bojan Hodak sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Piala AFC bukan menjadi keutamaan The Red Warriors.
Sebaliknya Hodak berkata, Kelantan tetap fokus untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super musim ini.
“Ia (Piala AFC) bukan keutamaan kami tetapi kami sudah berada di sini (pusingan kedua) dan saya mahu kami terus melangkah, seterusnya memenangi perlawanan malam esok (malam ini).
“Sudah pasti beraksi di laman sendiri memberikan kami kelebihan. Kami tidak pernah risau untuk bertemu sesiapa pun di sini (Stadium Sultan Muhammad IV),” kata Hodak pada sidang akhbar di Kota Bharu semalam.
Mengulas mengenai Terengganu yang kini dibimbing Butler, Bojan berkata: “Saya lebih fokus untuk mempersiapkan pasukan The Red Warriors.”
“Mungkin ia suatu yang baik untuk beliau tetapi saya mahu katakan, buat masa sekarang kami merupakan pasukan yang baik dan sentiasa mendapat keputusan yang baik.
“Jadi, mereka (pasukan lawan) yang datang ke sini perlu memikirkan reputasi kami. Saya mahu ia berakhir 90 minit, masa tambahan mungkin memberikan kita masalah,” ujarnya.
Sementara itu, Butler memberitahu, beliau kini sedang mempertingkatkan moral para pemainnya .
Jelas Butler, sebagai seorang jurulatih yang pernah membimbing Kelantan sebelum ini mungkin memberinya sedikit kelebihan, namun beliau lebih selesa untuk memberi tumpuan terhadap persiapan Terengganu.
“Saya mengenali para pemain Kelantan kerana saya berada di sini (Kelantan) selama lima bulan dan pernah bekerja keras bersama mereka.
“Saya tinggalkan mereka ketika mereka berada di puncak Liga Super dan saya rasa saya sudah melakukan yang terbaik untuk mereka.
“Perlawanan malam esok (malam ini) menjadi tugas pertama saya bersama Terengganu dan saya mahu melakukan yang terbaik,” jelasnya.
Info dan pic : www.kosmo.com.my