Kajang, Cheras, Ampang Dilanda Banjir Kilat

Sungai di Belakang Metro Kajang 

Di Hadapan Metro Kajang






02.May.2012 - Hujan lebat lebih daripada sejam melanda Lembah Klang menyebabkan tiga kawasan termasuk Ampang, Kajang dan Cheras dilanda banjir kilat dengan dua insiden pokok tumbang, hari ini.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kajang berkata, hujan lebat sejak 1 tengah hari di Kajang menyebabkan air naik mendadak kira-kira satu meter kerana longkang tersumbat dan menjejaskan pekan itu seketika.
Katanya, dua jentera dari balai Kajang dengan lapan anggotanya membuat kerja pemantauan dan menyelamat mangsa banjir.
“Namun keadaan banjir kilat semakin reda pada 4 petang ini selepas air mulai surut berikutan hujan turun renyai-renyai,” katanya.
Pada Disember tahun lalu, banjir kilat akibat hujan lebat menjejaskan pekan itu dengan pekedai dan orang awam mengalami kerugian apabila harta dan kenderaan mereka rosak ditenggelami air.
Sementara itu, laluan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) ditutup sepenuhnya kepada trafik bagi pengaktifan sistem aliran banjir.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan pula berkata, banjir kilat turut melanda kawasan berhampiran Balai Polis Salak Selatan, Cheras pada 2 petang tadi, dengan air naik kira-kira 1.5 meter.
Katanya, memandangkan hujan masih lagi lebat dijangka air akan lambat surut.
“Kami sudah menghantar dua jentera 14 anggota untuk memantau keadaan banjir di sana serta membuat tugasan menyelamat,” katanya.
Katanya, banjir kilat turut melanda kawasan perumahan di Kampung Tasik Permai apabila air naik sedalam 0.4 meter sejak 2 petang tadi dan satu jentera bomba dengan tujuh anggota dihantar untuk memantau keadaan.
Sementara itu, katanya, terdapat dua kejadian pokok tumbang di Bulatan Sungai Besi yang menghempap empat kenderaan.
“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya sambil menambah satu jentera dihantar untuk memotong pokok tersebut.
Satu lagi kes pokok tumbang berlaku di Flat Seri Johor di Jalan Tun Razak tetapi ia tidak menghempap sebarang kenderaan. – BERNAMA