The Red Warriors menghuni tangga teratas LSM satakat 21.01.2012




JUARA bertahan, Kelantan merampas mahkota Liga Super selepas menewaskan Kedah, 3-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar menerusi jaringan Muhammad Ghaddar, Norshahrul Idlan Talaha (gambar) dan Dennis Antwi.
Pelawat yang dikendalikan Peter James Butler memulakan aksi bertenaga menguasai permainan apabila sering kali bertukar hantaran pendek menerusi gandingan Norshahrul dan Ghaddar selain dibantu kapten pasukan, Mohd Badri Radzi untuk mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Kedah.

Asakan berterusan pelawat akhirnya memaksa Mohd Fauzi Nan melakukan kesilapan apabila menjatuhkan Norshahrul dalam kotak penalti pada minit ke-34 yang menyaksikan Ghaddar tenang merembat ke penjuru gol untuk menewaskan penjaga gol Kedah, Mohd Helmi Eliza Elias.
Kedah yang dilihat banyak bergantung kepada gerakan Mohd Khyril Muhyameen Zambri bersama kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar untuk mengasak kubu lawan turut mendapat dua peluang keemasan pada babak pertama namun kecekapan Khairul Fahmi Che Mat di gawang Kelantan memastikan gawangnya tidak dibolosi.

Tuan rumah yang masih memburu kemenangan pertama bagaimanapun tidak berputus asa apabila meningkatkan rentak permainan dengan mengasak ke kubu lawan dengan peluang menerusi tandukan Mohd Khyril Muhyameen dalam kotak penalti pada minit ke-57 namun ditangkap kemas Khairul Fahmi.

Namun ia tidak menyebabkan Kedah berputus asa apabila terus menguasai permainan di bahagian tengah bagi mengatur serangan dengan sekali lagi peluang terhidang pada minit ke-70 namun kali ini rembatan Faizal Abu Bakar singgah di palang gol ketika Khairul Fahmi hanya mampu memerhatikan percubaan itu.
Kelantan yang tenang bertahan sejak babak kedua bermula secara tiba-tiba bangkit ketika perlawanan berbaki 15 minit apabila menghukum kealpaan lawan menerusi Norshahrul yang merembat kencang selepas mendapat hantaran pemain gantian Kelantan, Antwi yang kemudiannya meledak gol ketiga pelawat pada masa kecederaan.- Harian Metro