TAMAT TEMPOH LESEN MEMANDU IKUT TARIKH LAHIR




Lesen tamat ikut tarikh lahir
Oleh Sazarina Shahrim 
sazarina@bharian.com.my
2011/11/16

Langkah JPJ bantu pemandu ingat tempoh tamat, elak pemilik tak aktif


PUTRAJAYA: Mulai Isnin depan, orang ramai yang memperbaharui lesen memandu akan mendapat tarikh tamat tempoh lesen memandu sama dengan tarikh lahir pemegang lesen berkenaan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha (kanan).
Beliau berkata, inisiatif dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu bagi memudahkan orang ramai mengingati tarikh memperbaharui lesen memandu masing-masing, selain dapat mengurangkan kes pemegang lesen tidak aktif dan rayuan untuk memperbaharui lesen memandu tamat tempoh melebihi tiga tahun.
“Kita (kementerian) berharap selepas ini, tiada lagi kes orang ramai lupa mahu memperbaharui lesen memandu mereka kerana sebaik saja tiba tarikh lahir, bermakna secara automatik lesen mereka juga sudah tamat tempohnya,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan 1Malaysia kementerian serta sambutan perayaan Deepavali dan Aidiladha di kementeriannya, semalam.


Berikutan itu, katanya, kerajaan akan menampung kos perbezaan tempoh pembaharuan lesen dan tarikh lahir dengan tempoh maksimum selama enam bulan, manakala bakinya perlu dibayar pemegang lesen memandu.


“Sebagai contoh, jika tarikh tamat tempoh lesen pada 20 Februari 2011, manakala tarikh lahir pemegang lesen adalah 19 Oktober tahun sama, pemegang lesen hanya membayar bagi tempoh tiga bulan kerana tempoh antara 20 Februari hingga 20 Julai (enam bulan) akan ditanggung kerajaan,” katanya.


Sementara itu, ditanya mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengesan pesalah lalu lintas, Cho Ha berkata, ia dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai pertengahan tahun depan. 
Beliau berkata, sistem berkenaan akan dipasang di 800 kawasan gelap yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan di seluruh negara.


“Kementerian berharap perjanjian dengan syarikat pengeluar dan persetujuan beberapa agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Peguam Negara akan dapat dicapai menjelang hujung tahun ini. 


“Lagipun, sistem AES yang turut digunakan di beberapa negara maju sudah terbukti mampu mengurangkan kadar kemalangan antaranya Perancis iaitu daripada 10,000 kes kemalangan setahun kepada 4,000 kes kemalangan dalam tempoh sama.


“Jadi, kita harap kejayaan sama dapat dicatatkan di negara ini,” katanya.


Difahamkan, kamera perakam trafik beresolusi tinggi yang mampu merakam wajah pemandu dengan jelas itu akan menggunakan teknologi daripada dua syarikat pengeluar kamera keselamatan trafik iaitu Robot Visual System GmbH dari Jerman dan Redflex (Australia) yang diguna pakai di 90 negara. 


Info  BERITA HARIAN 16.11.2011